Pages

Friday, April 22, 2011

Rawatan bagi mengatasi Masalah Emosi


Amalan baca al-Quran bantu rawat masalah emosi


Kitab suci mukjizat teragung perkukuh kekuatan dalaman, berikan ketenangan jiwa 

KEHIDUPAN di dunia ini sentiasa silih berganti antara kebahagiaan dan penderitaan. Ketika ditimpa kesusahan, jiwa menjadi gelisah dan murung kerana memikirkan permasalahan dihadapi.


Kata Ibnu Mas’ud, bagi setiap kegembiraan ada kesedihan dan tidak ada satu tempat pun yang dipenuhi kesenangan kecuali tempat itu juga diisi oleh kesedihan.
Biasanya kita akan berehat atau melakukan sesuatu aktiviti bagi mengatasi masalah emosi. Sebenarnya ubat paling mujarab ialah membaca al-Quran, iaitu amalan yang semakin ditinggalkan kecuali apabila tiba Ramadan. 

Selain mendapat pahala, membaca al-Quran adalah mukjizat agung dalam membaik pulih kegelisahan jiwa dan mengatasi kemurungan hidup. 

Allah berfirman bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya.” (Surah al-Israa’: 82). 
Membaca al-Quran adalah satu cara mengingati Allah. Orang yang sentiasa mengingati Allah dalam apa situasi sudah pasti jiwa berada dalam keamanan dan tenteram. 

Firman Allah bermaksud: “Orang yang beriman itu akan menjadi tenteram hati mereka. Ingatlah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d: 28). 

Oleh itu, jadikan membaca al-Quran sebagai gaya hidup dan jangan membacanya tatkala ditimpa masalah saja. Kesungguhan membaca al-Quran akan memantapkan rohani dan menjernihkan hati. Ingatlah Allah pada waktu lapang, tentu Allah akan ingat dan bantu kita ketika susah. 

Allah membekalkan mukjizat teragung al-Quran sebagai rahmat dan mereka yang membaca atau mendengar bacaan ayat suci itu akan diberikan Allah kekuatan dalaman. Amalan membaca al-Quran diakui metodologi sempurna dalam mengubat penyakit jiwa atau psikoterapi. 

Segala gangguan jiwa seperti kemurungan, fikiran berserabut dan cepat panik dapat diatasi dengan membaca al-Quran. Lebih lama kita membacanya, jiwa menjadi semakin aman tenteram. Inilah rahmat kurniaan Allah. 

Antara bacaan ayat al-Quran yang dijadikan sebagai penyembuh jiwa ialah surah Yasin. Syeikh Mohd Alawi Al-Malik mengatakan, surah Yasin banyak kelebihannya kerana menurut Rasulullah, surah Yasin adalah hati al-Quran. 

2 comments: